Saturday, June 13, 2009

Ucapan Presiden kongres PRM ke-40


KONGRES NASIONAL KE-40 PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM)
DI KUALA LUMPUR BERTARIKH 9 HARIBULAN NOVEMBER 2008
UCAPAN DASAR PRESIDEN PRM
Hassan Bin Abdul Karim


Saya mohon menyatakan rasa kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana pada hari ini kita dapat berkumpul di dewan ini untuk mengadakan Kongres Nasional Parti Rakyat Malaysia (PRM). Dalam kongres ini kita akan membincangkan perkembangan politik negara semasa, menilai kemajuan dan kegagalan parti kita serta memilih Jawatankuasa Pusat dan barisan kepimpinan parti yang baru bagi tempoh tiga tahun akan datang (2009-2011). Dengan berjayanya kita mengadakan kongres nasional ini, maka ia satu lagi bukti menunjukkan Parti Rakyat masih hidup, masih bernafas dan boleh bergerak serta beroperasi seperti biasa.

PRM di Persimpangan Jalan

Parti Rakyat juga telah turut menyertai Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 yang lalu. Kita telah bertanding di dua kawasan parlimen dan dua kawasan Dewan Undangan negeri(DUN). Kita bertanding di parlimen Johor Bahru (Johor) dan Parlimen Selayang (Selangor) serta DUN Stulang dan Johor Jaya (kedua-duanya di Johor). Dalam pilihanraya umum tersebut, Parti Rakyat telah bertanding dengan menggunakan simbolnya sendiri. Maka ini juga bukti nyata yang tidak boleh disangkal bahawa Parti Rakyat bukan sahaja masih hidup dan bernafas tetapi ia adalah sebuah parti politik berdaftar yang diakui sah oleh undang-undang negara yang ada kini sehingga parti ini boleh menyertai pilihanraya umum negara.

Tetapi dalam masa yang sama, Parti Rakyat masih menghadapi cabaran di mahkamah. Hal ini berlaku kerana terdapat sekumpulan bekas ahli-ahli PRM yang telah meninggalkan PRM dan kini menjadi ahli berdaftar Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengemukakan satu permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang memohon supaya Pendaftar Pertubuhan Malaysia membubarkan PRM.

Bagaimanapun, permohonan kumpulan tersebut telah kita tentang dan perbicaraan kes itu yang pada mulanya telah ditetapkan pada 9 haribulan Oktober 2008 telah ditangguhkan oleh pihak mahkamah ke suatu tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Dalam soal ini, walau apapun yang berlaku, kita ahli-ahli PRM akan berjuang sama ada di dalam mahkamah ataupun di luar mahkamah untuk mempastikan PRM tidak dibubarkan. Kita mahu PRM terus hidup dan meneruskan perjuangannya. Dua hari lagi ialah 11 haribulan November. Tarikh 11 November adalah tarikh kelahiran parti Rakyat. 53 tahun yang lalu PRM telah ditubuhkan. Ia ditubuhkan untuk berjuang. Tidak ada sebarang klausa atau fasal di dalam Perlembagaan Parti Rakyat yang menyebut soal pembubaran parti. Ertinya tidak terlintas langsung kepada fikiran para pengasas Parti Rakyat bahawa parti ini hendak dibubarkan.

Justeru itu, kita tidak kira berapa lama kes mahkamah ini akan berlarut-larut. Tugas kita ialah terus bergerak seperti biasa dan tidak menjadikan kes mahkamah ini sebagai duri dalam daging yang mengganggu kerja-kerja kita.

Jadi apabila kita sudah sampai di persimpangan jalan, kita tahu ke mana hala tujuan kita. Kita tidak undur ke belakang. Kita mahu maju ke depan meneruskan cita-cita Parti Rakyat yang telah tercatat dan terpahat menerusi perjuangannya lebih lima dekad ini yang menjadikannya antara parti politik tertua di Malaysia.

Perubahan Lanskap Politik Malaysia

Lanskap politik Malaysia telah berubah sejak Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) pada 8 Mac 2008 yang lalu. PRM rasa gembira dengan keputusan PRU-12 itu. Matlamat parti-parti pembangkang selama ini berusaha untuk menafikan Barisan Nasional (BN) majority dua pertiga di parlimen akhirnya telah berjaya.

Bukan itu sahaja, lima buah negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor telah jatuh ke tangan parti-parti pembangkang. Malahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN hanya memenangi satu kerusi parlimen sahaja , manakala yang lain kesemuanya dikuasai oleh parti-parti pembangkang.

BN yang sombong sebelum ini kini tidak boleh sombong dan angkuh seperti dulu. Lanskap politik sudah berubah selepas tsunami membadai persada politik Malaysia pada Mac yang lalu. BN terbukti bukan satu gabungan parti politik yang kebal buat selama-lamanya. Ia telah lanjut usia. Telah berumur lebih 50 tahun. Ia boleh dikalahkan. BN boleh ditumbangkan oleh Rakyat yang mahukan perubahan yang lebih baik dari keadaan yang ada sekarang.

Satu perkembangan lain yang menarik kesan dari kemenangan besar parti-parti pembangkang utama di Malaysia -PKR, DAP dan PAS- ialah pembentukan satu gabungan longgar yang merangkumi ketiga-tiga parti pembangkang utama itu ke dalam satu perikatan yang dipanggil Pakatan Rakyat (PR). Lima buah negeri yang dikuasai pembangkang kini dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat terutamanya di Perak dan Selangor. Manakala di Kelantan dan Kedah ternyata PAS yang menguasai keseluruhannya. Di Pulau Pinang, DAP lebih dominan dan PKR adalah rakan kongsi yang bersifat penumpang manakala kehadiran PAS tidak nampak langsung.

Tetapi kehadiran gabungan Pakatan Rakyat di parlimen dengan diketuai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang telah menjadikan parlimen Malaysia sekarang begitu hidup dan peranan Pakatan Rakyat sebagai pengimbang yang memainkan peranan check and balance kelihatan semakin berkesan.

Walaupun PRM tersisih ketika ini dari semua perkembangan politik yang positif ini, namun PRM amat mengalu-alukan perubahan lanskap politik yang ada sekarang dan melihatnya sebagai satu kemenangan rakyat dalam melwan hegemoni BN.

Sistem Dua Parti

Secara tidak langsung hasil dari keputusan PRU-12 ialah Malaysia kini sedang menuju ke arah system dua parti seperti di Amerika Syarikat dan Britain. Jika di Amerika Syarikat terdapat parti Republikan dan parti Demokrat yang silih berganti memerintah; dan di Britain pula terdapat Parti Buruh dan parti Konservatif, maka begitu juga di Malaysia kini ada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Apakah sikap PRM terhadap system dua parti ini? Dari satu segi, PRM melihat sistem dua parti ini ada baiknya dalam amalan demokrasi di Malaysia. Secara realistik, pada ketika ini tidak ada satu parti politik pembangkang, secara tunggal dan bersendirian dapat menumbangkan BN. Sebabnya BN itu adalah gabungan 14 parti politik dan masa kini masih menguasai kerajaan pusat dan di lapan buah kerajaan negeri. Kerana itu adalah lojik gabungan BN ditentang oleh gabungan Pakatan Rakyat.

Walaupun ketika ini PRM bukan anggota Pakatan Rakyat tetapi PRM menyokong kebanyakan usaha-usaha pembaharuan atau reformasi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat jika berjaya menunaikan manifesto pilihanraya mereka dan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri dapat mentadbir dengan baik, PRM dengan yakin menyatakan Pakatan Rakyat adalah pilihan Rakyat yang baik berbanding BN.

Malahan PRM akan memberi sokongan dan kerjasama kepada Pakatan Rakyat dalam usaha menumbangkan BN dan seterusnya Pakatan Rakyat mengambilalih pemerintahan Malaysia secara sah dan demokratik di peringkat pusat dan di negeri-negeri.

Namun begitu, PRM tetap berpendirian bahawa parti-parti politik pembangkang lain yang ada yang bukan anggota Pakatan Rakyat mempunyai hak untuk bergerak di luar Pakatan Rakyat secara bebas. Seperti kedudukannya sekarang, PRM adalah sebuah parti pembangkang yang menentang BN tetapi duduk di luar gabungan Pakatan Rakyat. PRM mengambil pendirian bahawa Pakatan Rakyat dan parti-parti di dalam gabungannya itu adalah parti-parti sahabat. Sekiranya terdapat perbezaan antara PRM dengan Pakatan Rakyat atau parti-parti di dalamnya, perbezaan itu bersifat tidak antagonistik. Manakala perbezaan dan pertentangan antara PRM dengan BN adalah bersifat antagonistik.

Politik Bukan Perkauman dan Pelbagai Kaum : Pilihan Sekarang dan Masa Depan

PRM ditubuhkan 53 tahun yang lalu sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan seluruh kepentingan Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya mereka. Sebab itu PRM diberi nama Parti Rakyat bukannya Parti Melayu atau pati Cina ataupun parti India. Sejak lebih lima dekad PRM memperjuangkan garis politik tidak perkauman.

Jadi hari ini, PRM amat berasa gembira bahawa trend atau arah aliran menunjukkan bahawa Rakyat Malaysia sekarang semakin menerima bahawa corak politik yang relevan bagi Malaysia ialah politik bercorak pelbagai kaum dan tidak perkauman. PRM melihat bahawa parti-parti politik yang berasaskan satu-satu kaum sahaja secara eksklusif, sekarang satu demi satu sedang mengundur dan panik seperti ikan kecemasan di dalam kaca akuarium yang airnya semakin tiris akibat retak dan bocor.

Kita ahli-ahli PRM mengalu-alukan satu lagi perkembangan baik selepas pilihanraya umum Mac lalu iaitu trend menolak politik perkauman yang berbahaya. Ternyatalah para pengasas PRM yang menubuhkan Parti Rakyat ini 53 tahun yang lalu sebagai sebuah parti politik untuk semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama mempunyai wawasan yang betul. Para pengasas PRM itu adalah mendahului zamannya. Apa yang mereka lihat, baru kini mulai menjadi kenyataan. Maka kita ahli-ahli PRM sekarang adalah pewaris kepada para pengasas politik pelbagai kaum itu. Tugas kita sekarang untuk meneruskan wawasan mereka sehingga menjadi kenyataan demi kesejahteraan dan kebaikan seluruh Rakyat Malaysia masa kini dan masa hadapan.

Apa Bezanya antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional?

Parti Rakyat mahu mengajak rakyat membincangkan isu-isu yang menjadi teras atau substantif bukannya isu-isu retorik atau gimik. Justeru itu satu isu teras yang mengenai seluruh hidup Rakyat jelata ialah isu ekonomi.

PRM melihat reformasi dalam bidang ekonomi amat penting di Malaysia. Ia kerana Malaysia kini begitu terikat rapat dengan sistem ekonomi kapitalis di peringkat global. Adalah menjadi hakikat bahawa segala dasar, program dan pendekatan ekonomi Malaysia di bawah BN sekarang berasaskan prinsip kapitalisme. Kesannya, apabila ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah jatuh atau meleset, maka ekonomi Malaysia juga akan meleset sama. Kehidupan Rakyat negeri ini akan semakin susah. Inflasi tinggi. Harga barang keperluan meningkat. Pengangguran tinggi. Peluang pekerjaan berkurangan.

Dalam masa yang sama kita ingin bertanya apakah dasar ekonomi Pakatan Rakyat? Apa bezanya dasar ekonomi BN dengan dasar ekonomi Pakatan Rakyat? Kita lihat tidak jelas beza antara keduanya. Seperti tidak banyak beza antara rasa Coca-Cola dengan Pepsi-Cola.

PRM melihat kedua-dua gabungan sama ada BN ataupun Pakatan Rakyat mendukung sistem ekonomi pasaran ataupun kapitalisme. Falsafah ekonomi kapitalisme tidak boleh diberi kosmetik yang indah dengan ungkapan kapitalisme yang bersifat manusiawi seperti yang dicanangkan oleh sesetengan pemimpin Pakatan Rakyat.

PRM berhujah bahawa sistem dunia masa kini yang sedang menyaksikan keruntuhan ekonomi dunia kapitalis barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah tidak ada banyak pilihan. Sama ada ia bersifat manusiawi atau tidak, soal pokoknya apakah asas system ekonomi tersebut? Mendokong kapitalisme ataupun tidak?

PRM belum lagi melihat program ekonomi Pakatan Rakyat. PRM hanya mendengar cebisan sana sedikit sini sedikit apa yang dipanggil dasar-dasar ekonomi parti-parti komponen di dalam Pakatan Rakyat. Apa yang PRM lihat semuanya masih amat kuat terikat dengan dasar-dasar kapitalisme Barat yang PRM tidak nampak apa manusiawinya.

Walaupun di Amerika Syarikat dan di Eropah secara relatifnya mempunyai system kehakiman dan media yang bebas; tidak berlaku kronisme dan rasuah yang meluas seperti di Malaysia tetapi kerana sifat tamak yang dibenarkan di bawah system kapitalisme maka sekarang apa yang berlaku ialah keruntuhan system pasaran kewangan di Negara-negara kapitalis besar itu.

Jadi PRM berpendapat adalah tidak mencukupi jika Pakatan Rakyat berjuang hanya sekadar untuk mengwujudkan kebebasan kehakiman dan media serta menghapuskan kronisme dan rasuah di negeri ini tanpa reformasi dari segi sitem ekonomi. Kebebasan kehakiman dan media adalah penting. Menghapuskan amalan kronisme dan rasuah juga sama penting. Tetapi di samping itu semua, reformasi ekonomi perlu dilakukan.

PRM berpendapat struktur ekonomi Malaysia perlu direformasi supaya penguasaan golongan elit terhadap ekuiti dan kekayaan negara ini disusun semula agar pengagihan yang lebih adil dan meluas kepada majoriti rakyat dapat dilakukan.

Apakah Cabaran PRM

PRM perlu mengenal pasti kekuatan dan kelemahannya. PRM adalah sebuah organisasi politik. Sebagai sebuah organisasi ia mesti sentiasa bergerak. Ia perlukan anggota dan kader yang ramai. Ia juga perlu barisan kepimpinan yang dinamik dan komited. Justeru itu maka kongres nasional ini adalah penting kerana kita akan memilih Jawatankuasa Pusat dan barisan kepimpinan bagi tiga tahun akan datang.

PRM perlu menjadi parti politik yang kuat dan meluas pengaruhnya jika ia tidak mahu tersisih seperti sekarang. Dalam dunia politik, orang melihat kekuatan organisasi, kekuatan ketokohan kepimpinan dan kekuatan dalam memimpin idea dan wawasan. Jika PRM terus lemah dalam tiga aspek ini, PRM tidak dapat muncul sebagai satu parti yang relevan. Kita tidak boleh hidup dengan sejarah walaupun sejarah itu penting dalam kehidupan politik sesebuah parti politik. Kita sekarang yang perlu membina sejarah. Kita telah memulai dengan ketegasan azam kita untuk terus mempertahankan PRM agar terus hidup. Tetapi tidak cukup itu sahaja. Tidak cukup sekadar PRM terus hidup.

PRM mesti berada di tengah-tengah medan dan gelanggang politik arus perdana. Rakyat kini memilih parti pelbagai kaum. PRM adalah parti pelbagai kaum. Rakyat mahu memilih parti yang mempunyai garis perjuangan yang berprinsip. PRM adalah sebuah parti politik yang mempunyai garis perjuangan yang berprinsip. Jadi semuanya ada pada diri PRM sebagai sebuah parti politik untuk maju ke depan. Yang PRM kurang sekarang ialah kepimpinan yang komited, kader-kader yang berani berkorban dan ahli-ahli yang bersungguh-sungguh.

Justeru itu menguatkan organisasi parti adalah tugas paling utama bagi PRM. Di samping itu tokoh-tokoh muda mesti berani ke depan untuk memimpin parti. Masa depan PRM adalah terletak pada dua unsur ini iaitu organisasi yang kuat dan kepimpinan yang baik. Soal dasar PRM, soal hala tuju, soal prinsip perjuangan semuanya sudah beres dibahaskan. Ia semuanya telah didokumentasikan sama ada secara bertulis atau tidak bertulis. Pokok persoalannya ialah bergerak dan berjuang atau tidak bergerak dan mati. Mana satu pilihan kita? Soal bergerak lambat tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah ialah jika tidak bergerak langsung.

Tetapi kita percaya saudara saudari para perwakilan yang ada di dalam sidang kongres nasional ini adalah anggota-anggota dan para pemimpin parti yang sanggup komited dalam perjuangan. Ingatan yang saya sebutkan di atas adalah ditujukan kepada saya sendiri dan juga saudara saudari sekelian.

Kita telah memilih untuk terus berjuang bersama PRM maka adalah tanggungjawab kita supaya perjuangan rakyat ini beroleh kemenangan akhirnya.

Dengan kata-kata itu dan kalimat Bismillah maka saya merasmikan Kongres Nasional PRM tahun 2008 ini. Sekian selamat bersidang.

Hidup Perjuangan Rakyat!
Hidup Parti Rakyat!

Yang benar,

Hassan Bin Abdul Karim
Presiden Parti Rakyat Malaysia
9 haribulan Novemver 2008
Kuala Lumpur

No comments: