Saturday, June 13, 2009

TENTANG PERGOLAKAN POLITIK DI NEGERI PERAK

KENYATAAN PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM)

TENTANG PERGOLAKAN POLITIK DI NEGERI PERAK

PRM berpendapat langkah terbaik bagi mengatasi ketidakstabilan politik di negeri Perak sekarang ialah dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak dan kemudian satu pilihanraya bagi seluruh negeri Perak diadakan untuk mendapatkan mandat baru dari rakyat.

Walaupun sekarang Barisan Nasional (BN) mempunyai 28 kerusi dan ada 3 kerusi Bebas yang dikatakan menyokong BN untuk membolehkan BN membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan Pakatan Rakyat tetapi kami berpendapat kelebihan majoriti 3 kerusi itu adalah tidak kukuh kerana 2 dari 3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas itu sedang menghadapi tuduhan jenayah rasuah di mahkamah. Mereka ialah ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Mohd Jailu.

PRM berpendapat dalam suasana sekarang ini maka sudah sampai masanya supaya satu undang-undang digubal bagi mencegah seseorang ADUN atau Ahli Parlimen yang bertanding atas nama satu-satu parti politik daripada melompat ke parti politik yang lain. Jika ia melompat bermakna kerusi itu kosong dan satu pilihanraya kecil diadakan bagi kawasan tersebut. Undang-undang seperti ini akan dapat membantu mengwujudkan satu suasana yang tenteram dan stabil bagi sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas sesuatu pilihanraya umum walaupun kerajaan itu mempunyai majoriti yang nipis.

Kami amat percaya dan tanpa niat untuk memperkecilkan mereka yang berkenaan bahawa ADUN Behrang dan ADUN Changkat Jering yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini menjadi ADUN Bebas telah memenangi pilihanraya di kawasan masing-masing pada 8 Mac 2008 lalu adalah atas sokongan kuat rakyat Behrang dan Changkat Jering terhadap PKR dan juga Pakatan Rakyat dan bukannya sangat atas kekuatan diri peribadi calon-calon itu sendiri.

Dengan tindakan kedua-duan ADUN berkenaan meninggalkan PKR dan menjadi ADUN bebas yang menyokong BN dan kerana itu kerajaan Pakatan Rakyat yang sah tumbang di Perak angkara khianat dan pembelotan politik mereka adalah satu tindakan yang bukan sahaja memalukan tetapi tidak menghormati aspirasi pengundi yang mengundi mereka dahulu atas platform parti politik yang mereka wakili ketika itu.

Justeru itu PRM mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengambil tindakan menyiasat dengan segera tentang laporan yang dibuat oleh seorang pemimpin PKR di Perak yang menyatakan terdapat usaha menyogok wang atau rasuah bermilion Ringgit bagi memujuk ADUN-ADUN Pakatan Rakyat melompat ke BN dan dakwaan ini dikaitkan dengan nama
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kini menjadi Pengerusi BN dan Ketua Perhubungan Umno Perak.

Kembali kepada usaha mencari penyelesaian kepada pergolakan politik di Perak sekarang maka PRM menyeru Sultan Perak atas semangat Raja berperlembagaan bertindak atas prinsip demokrasi yang memberi keutamaan kepada aspirasi rakyat dengan menerima nasihat Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin supaya memperkenankan Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan untuk membolehkan satu pilihanraya diadakan di Perak bagi sebuah kerajaan baru dibentuk berdasarkan kehendak sebenar rakyat.

Yang benar


Hassan Karim
Presiden PRM

5 haribulan Februari 2009

Kenyataan Media ini dikeluarkan oleh Presiden PRM yang beralamat di Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor. Tel: 07-6881839 (012-7931148) Fax: 07-6882369 Email: hakarim2001@yahoo.com

No comments: