Hormati Perjanjian dengan Parti Komunis Malaya
Benarkan Chin Ping Balik ke Malaysia
Hassan Abdul Karim.
Presiden PRM
17-06-09
Kerajaan Malaysia harus menghormati Perjanjian Perdamaian yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989 di negeri Thai dan membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia seperti beratus-ratus ahli PKM lain yang telah balik ke negeri ini di bawah Perjanjian Perdamaian tersebut.
Parti Rakyat Malaysia berpendapat Kerajaan Malaysia harus menghormati perjanjian yang dibuat dengan mana-mana pihak jika Kerajaan Malaysia hendak memperlihatkan kewibawaannya dalam mata rakyat sendiri dan mata dunia.
Parti Rakyat Malaysia percaya memandangkan sejarah dan situasi pencapaian kemerdekaan Malaysia dan perkembangan seterusnya, Kerajaan Malaysia ketika berunding dan akhirnya memeterai Perjanjian Perdamaian dengan PKM bukan tidak menghadapi pelbagai reaksi daripada pelbagai golongan dalam negeri.
Walaupun begitu, pemimpin kerajaan yang mengambil langkah untuk berdamai tahu masalah PKM adalah masalah politik dan akhirnya perlu diselesaikan secara politik, justeru itu bertekad mengambil langkah politik untuk menrealisasikan perdamaian dalam negeri ini.
Di bawah suasana pelbagai reaksilah Perjanjian Perdamaian dicapai. Tidak hairanlah jika ada pihak bersuara menyokong dan ada pihak menentang apabila hal Chin Peng timbul di khalayak ramai. Inilah demokrasi.
Apa lagi, selama ini kerajaan beruar-uar hendak membina masyarakat penyayang. Jika kita tidak dapat menerima seorang orang tua dalam pangkuan kita, manalah semangat masyarakat penyayang.
Parti Rakyat Malaysia berpendapat, selepas 50 tahun Malaysia telah merdeka dan selari dengan trend globalisasi, adalah masanya masyarakat dan kerajaan negara ini menerima hakikat bahawa dalam masyarakat demokrasi dan moden, pandangan-pandangan yang berlainan dengan diri kita sendiri harus dibenarkan wujud dan tidak harus disekat.
KENYATAAN MEDIA ini dikeluarkan oleh Presiden PRM yang beralamat di Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor. Tel: 07-6881839 (012-7931148) Faks: 07-6882369 Email: hakarim 2001@yahoo.com
Monday, June 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment