Tuesday, August 25, 2009

Ucapan Presiden PRM pada Malam Kemenangan PRM

Apakah Pentingnya Malam ini?

Pihak penganjur iaitu Jawatankuasa Pusat PRM menamakan majlis ini sebagai Malam Kemenangan Parti Rakyat. Kemenangan yang dimaksudkan ialah kemenangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu di mana Mahkamah memutuskan bahawa permohonan pihak-pihak yang ingin membubarkan Parti Rakyat telah ditolak dengan kos.

Ertinya PRM hari ini masih berdiri sebagai sebuah parti politik yang sah dan dapat bergerak seperti parti-parti politik yang lain.

Kemenangan Kecil

Bagi saya, ini hanyalah satu kemenangan yang kecil. Kemenangan yang lebih bermakna bukannya sama ada PRM bubar atau tidak bubar; bukannya sama ada PRM mati atau hidup. Yang lebih bermakna ialah sama ada cita-cita PRM dapat dicapai. Jika apa yang dicita-citakan PRM dapat dicapai, barulah itu kita anggap satu kemenangan. Walaubagaimanapun, saya amat bersyukur. Keputuasan mahkamah pada 16 Julai lalu tetap satu kemenangan yang penting dalam perjuangan PRM.

Tiada Siapa yang Kalah

Dalam majlis malam ini, saya dengan rendah hati menyatakan bahawa walaupun Parti Rakyat menang di mahkamah tetapi sebenarnya tidak ada siapa yang kalah. Isu di sebalik pertikaian di mahkamah adalah ibarat isu dalam satu keluarga. Seperti dalam satu keluarga, air dicincang tak akan putus. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bertaut juga.

Saya secara peribadi dengan hormatnya memohon sahabat-sahabat yang menjadi pihak pemohon dalam kes Semakan Kehakiman di mahkamah itu supaya menerima dengan baik keputusan mahkamah tersebut. Saya berharap sahabat-sahabat saya itu tidak membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Namun begitu saya tetap menghormati hak mereka jika masih ingin terus merayu ke Mahkamah Rayuan.

Terima Kasih kepada Barisan Peguam

Saya mohon merakam penghargaan yang tinggi dan ucapan ribuan terima kasih kepada barisan peguam Parti Rakyat yang telah memperjuangkan kes Parti Rakyat di mahkamah. Mereka terdiri daripada Saudara GK Ganesan, Saudara K.Palaniandy dan Saudara Wee Chee Keong.

Apakah Kemenangan Yang Besar?

Pada malam ini saya ingin menyatakan bahawa bagi Parti Rakyat kemenangan yang lebih besar ialah jika Barisan Nasional (BN) yang didukung oleh Umno, MCA dan MIC dapat ditumbangkan. Saya percaya Pakatan Rakyat yang teriri daripada Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP dan didukung oleh massa rakyat mampu menumbangkan BN. Saya percaya Pakatan Rakyat mampu menggantikan BN. Pendirian Pakatan Rakyat jauh lebih progresif dari BN dalam isu-isu seperti menentang ISA, tidak memainkan isu perkauman, lebih telus dan anti-rasuah. Saya berharap parti-parti dalam Pakatan Rakyat dapat menyelesaikan isu-isu semasa yang menggangu kesatuan mereka dan terus fokus kepada agenda nasional yang lebih besar. Pakatan Rakyat, bagi saya sebenarnya ia kini berada di dalam eksperimen dan saya berharap ia berjaya dan lulus ujian yang getir ini dan muncul dengan lebih teguh, mantap dan meyakinkan.

Pada malam ini, saya selaku Presiden PRM dengan terus terang menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat boleh menjadi satu alternatif kepada BN dalam sistem dua parti yang sedang dalam pembinaan. Saya akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pusat PRM dalam mesyuarat yang terdekat ini supaya Parti Rakyat secara rasmi memohon menjadi anggota komponen Pakatan Rakyat.

Parti Rakyat yang mewarisi perjuangan PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya)akan meneruskan kesinambungan perjuangannya yang menggalas tugas menggembleng kekuatan progresif sejak Putera-AMCJA melawan penjajah kolonial dan diteruskan dengan Fron-Sosialis (Parti Rakyat dan Parti Buruh)pada akhir 50an dan 60-an, Harakah Keadilan (kerjasama pilihanraya antara Parti Rakyat dengan PAS dan lain-lain) pada pilihanraya umum 1986, kemudian diikuti dengan Gagasan Rakyat pada tahun 1990 dan 1995 (gabungan Parti Rakyat dengan Parti Semangat 46, DAP dan IPF) dan diikuti dengan Barisan Alternatif pada 1999 dan 2004. Dalam semua kerjasama parti-parti pembangkang, Parti Rakyat tetap ada dan sentiasa kekal, teguh dan setia dalam perpaduan menentang Perikatan dan BN dari dahulu sampai sekarang.

Apakah Kemenangan Yang lebih Besar?

Kemenangan yang lebih besar bagi Parti Rakyat ialah jika kita berjaya, iaitu benar-benar berjaya membina sebuah negara Malaysia yang bersatu, adil dan demokratik. Satu negara bangsa iaitu Bangsa Malaysia yang berteraskan ketuanan rakyat bukannya ketuanan satu-satu kaum. Bukan juga ketuanan feudal, sama ada feudal lama ataupun feudal baru. Ketuanan rakyat yang saya maksudkan ialah rakyat yang berkuasa dan kuasa itu bertujuan untuk menjunjung keadilan sesama manusia, yang mempertahankan kebebasan dan demokrasi dan bercita-cita membina perpaduan Bangsa Malaysia yang tulen bersatu atas dasar keadilan sosial. Ini adalah agenda nasional masa depan. Jika perlukan satu kontrak sosial baru, maka inilah asasnya.

Parti Rakyat dan Pakatan Rakyat

Parti Rakyat akan berada bersama-sama Pakatan Rakyat di barisan depan jika Pakatan Rakyat benar-benar tulus dan jujur untuk memperjuangkan satu negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, yang bersatu dan bergerak ke depan atas landasan keadilan, di mana peluang yang saksama untuk semua termasuk terutamanya golongan yang miskin, lemah dan terabai tanpa mengira latar belakang kaum, budaya dan agama mereka. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Ini hanya dapat dicapai sekiranya semua yang berhak dibantu, perlu dibantu; tanpa mengira bulu. Kita perlu benar-benar beriltizam dan komited bukan sahaja untuk membasmi kemiskinan dan kemunduran, tetapi kita juga beriltizam dan komited untuk membasmi pilih kasih dan diskriminasi. Kita benar-benar mahu supaya setiap rakyat, saya bermaksud setiap rakyat dari semua golongan dan latarbelakang, tanpa mengira kaum dan agama masing-masing menyedari dan menerima serta mengiktiraf bahawa Malaysia ini adalah tanahair mereka di mana mereka sendiri, anak-anak dan cucu-cicit mereka; generasi sekarang dan generasi mereka akan datang sama-sama mempunyai hak dan peluang serta tanggungjawab di bumi Malaysia yang bertuah ini yang menjanjikan masa hadapan yang gemilang.

Jika ini dapat kita capai, maka itu adalah satu kejayaan. Perjuangan yang panjang itu telah kita mulai selama ini dan pada malam ini kita sekali lagi menegaskan keazaman kita itu.

Hidup Parti Rakyat!

Hidup Ketuanan Rakyat!

Yang benar,

Hassan Karim
Presiden
Parti Rakyat Malaysia (PRM),
Kuala Lumpur
Bertarikh:15 Ogos 2009

No comments: