Saturday, June 13, 2009

nyahkan calon BN dalam 3 pilihanraya kecil

1-4-2009

Kepada Pengarang yang dihormati,

nyahkan calon BN dalam 3 pilihanraya kecil

Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyeru pengundi di kawasan Parlimen Bukit Gantang memberikan sokongan bulat kepada calon PAS Mohamad Nizar Jamaluddin serta tolak calon BN.

Pada masa yang sama, PRM juga menyeru pengundi DUN Bukit Selambau di Kedah dan Batang Ai di Sarawak tolak calon BN dalam pilihanraya kecil.

Pilihanraya kecil yang sedang berlangsung kini, khususnya pilihanraya kecil di kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai makna yang penting dalam peringkat perkembangan sejarah negara, keputusannya akan mempengaruhi halatuju politik dan demokrasi di negara kita serta dasar-dasar ekonomi dan social akan datang.

Seperti yang dikatakan oleh calon Parlimen kawasan Bukit Gantang, Mohamad Nizar Jamaluddin, pilihanraya kecil harus ditanggap sebagai pungutan suara rakyat (referendum) terhadap dasar dan politik UMNO yang tidak demokratik dan korup serta terhadap perbuatan UMNO yang merampas kuasa pemerintahan negeri Perak daripada kerajaan Pakatan Rakyat tanpa mengikut peraturan dan proses yang sah.

Inilah peluang dan ketika yang sesuai untuk rakyat sekali lagi menyuarakan bahawa mereka telah muak dan tolak politik dan dasar UMNO-BN yang dasarnya hanya menguntungkan segelintir manusia yang berkuasa, dan rakyat Negara ini mahu menyaksikan perubahan yang tulin dan bernas dilakukan. Rakyat telah tolak BN di dua pilihanraya kecil yang telah lepas, iaitu pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan kawasan parlimen Kuala Terengganu di Terengganu.

Rakyat negera ini telah menyaksikan manfaat pertukaran separa (partial) parti pemerintah di lima buah negeri pada PRU ke-12. Perubahan memang baik untuk rakyat.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak di bawah pimpinan Mohamad Nizar Jamaluddin telah melaksanakan beberapa perubahan dasar yang dicita-citakan oleh rakyat negeri Perak dalam masa pemerintahan yang singkat. Perubahan begini tidak mungkin berlaku langsung pada bila-bila masa di bawah kerajaan UMNO-BN.

Rakyat juga menyaksikan kebajikan rakyat di negeri-negeri di bawah kuasa Pakatan Rakyat dijaga jika berbanding dengan pemerintahan BN, umpamanya dasar air percuma bagi penggunaan air 20 meter padu yang pertama telah dilaksanakan di negeri Selangor , sebuah negeri di bawah pakatan Rakyat.

Akan tetapi, apabila kerajaan negeri Selangor hendak membeli balik syarikat yang mengurus air paip, kerajaan pusat di bawah UMNO-BN masuk campurtangan dan hendak mengambil alih syarikat berkenaan, kini cas air di negeri Selangor akan dinaikkan sebanyak 31% menurut laporan. Ini jelas menunjukkan tujuan Pusat ialah menjaga kepentingan kroni UMNO yang menguasai syarikat tersebut tetapi mengalami

kerugian teruk , serta mencuba menggagalkan dasar air percuma bagi 20 meter padu kerajaan Pakatan Rakyat, dan seterusnya menghapuskan mana-mana dasar yang menjaga kepentingan rakyat.

Rakyat juga menyaksikan bahawa UMNO-BN yang telah melampau lama memerintah Negara ini iaitu selama 50 tahun , tetapi dinyahkan kuasa pemerintahan di lima buah negeri pada PRU ke-12 telah melalui sedikit perubahan sikap yang angkuh dan bongkak. Pada perhimpunan yang baru lepas, UMNO telah mempunyai barisan kepimpinan baru, dan kepimpinan ini juga beria-ia hendak melakukan perubahan dan menjaga kepentingan rakyat. UMNO telah menerima isyarat bahawa rakyat Negara ini mahu nampak perubahan.

Walaupun kepimpinan UMNO telah bertukar tangan , UMNO tidak akan melakukan apa-apa perubahan yang bernas, perubahan hanya kosmetik jika ada untuk mengabukan mata dan meredakan kemarahan rakyat , menutup kekorupan dan ketamakan UMNO.

Pada hal, Abdullah Badawi dilucutkan jawatan Presiden dan Perdana Menteri oleh UMNO lebih awal daripada yang ditetapkan oleh Abdullah Badawi jelas menunjukkan pemimpin UMNO dari atas ke bawah telah menolak agenda perubahan yang hendak dilakukan Abdullah Badawi. Apa yang hendak dikekalkan ialah “order lama UMNO”, meminjam ucapan Abdullah Badawi baru-baru ini dalam perhimpunan UMNO.

Pemimpin-pemimpin besar dan kecil UMNO tidak dapat menerima perubahan Abdullah Badawi, maka tidak hairanlah Abdullah Badawi dinyahkan dari tampuk kuasa UMNO. Najib Tun Razak yang mengambil-alih jawatan Presiden dan Perdana Menteri tidak akan melakukan apa-apa perubahan bernas. Jika beliau tegas hendak melakukannya, pemimpin-pemimpin UMNO akan menolak dan membuangnya.

Perubahan yang dicadangkan Najib Tun Razak dan Timbalannya Muhyiddin adalah cakap-cakap kosong, semata-mata untuk mengalihkan kelihatan rakyat daripada perbuatan UMNO untuk terus merampas kekayaan rakyat dan Negara. Boleh dijangkakan, kehidupan rakyat tidak akan maju baik, bahkan akan merosot dan sengsara jika negara terus di bawah kuasa UMNO .

Apabila Abdullah Badawi memberikan ucapan terakhirnya di perhimpunan UMNO, beliau dengan jelas mengatakan bahawa kepimpinan UMNO yang menggantinya masih mencuba mengguna cara lama untuk menyekat dan menindas kritikan rakyat. Jika begitu, UMNO akan ditolak rakyat pada PRU ke-13.

PRM berpendapat jika rakyat hendak UMNO-BN melakukan perubahan yang bernas, pengundi di ketiga-tiga kawasan pilihanraya kecil perlu memberikan undi mereka kepada calon Pakatan Rakyat. Penolakan UMNO-BN dalam pilihanraya kecil adalah isyarat kepada UMNO-BN bahawa rakyat Negara ini hendak perubahan yang bernas , khususnya pengundi Kawasan Parlimen Bukit Gantang harus memberikan sokongan bulat kepada Mohamad Nizar, sebagai suara menolak perbuatan UMNO yang tidak demokratik dan menolak cara yang tidak mengikut peraturan.

Yang benar



Koh Swe Yong
Setiausaha Agung
012-2766551

No comments: