Monday, July 6, 2009

Kelulusan BI wajib PPSMI gagal

Kesimpulan kajian Parti Rakyat Malaysia (PRM) terhadap pengumuman Tan Sri Muhyuddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran, bahawa kerajaan sedang bertimbang cadangan untuk mewajibkan kelulusan dalam matapelajaran Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), supaya tahap penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris yang makin hari makin menurun dan membimbangkan dapat disekat dan dipertingkatkan, adalah bukti jelas pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selama 6 tahun itu telah seratus peratus gagal. Oleh itu, Satu pendekatan baru diperlukan untuk menangani masalah kejatuhan tahap Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Mansuhkan PPSMI

Sebaik saja dasar PPSMI diumumkan, PRM telah menentang dasar PPSMI sekuat-kuatnya, dan menyeru agar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan mengguna Bahasa Kebangsaan, manakala di sekolah jenis kebangsaan mengguna bahasa ibunda masing-masing, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina mengguna bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil mengguna bahasa Tamil.

PRM telah juga menyangkal (refute) dan mengkritik hujah-hujah yang salah, tetapi menyokong
PPSMI bahawa PPSMI dapat mempertingkatkan tahap Bahasa Inggeris, dan dasar PPSMI dapat membolehkan pelajar memperoleh ilmu Sains dan Matematik. Jika kerajaan BN tetap hendak melaksanakan dasar ini, tahap Bahasa Inggeris rakyat bukan sahaja tidak dapat dipertingkatkan , sebaliknya akan menghalang minat kebanyakan pelajar untuk mempelajari ilmu pengetahuan asas Sains.

Menentang lulus BI dalam SPM

Kini, seorang menteri pelajaran baru naik pentas, dengan segeranya beliau mengemukakan pendekatan baru untuk menangani kejatuhan tahap bahasa Inggeris, iaitu mewajibkan kelulusan dalam matapelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat untuk mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia.

PRM juga menentang pendekatan baru yang dikemukakan oleh Tan sri Muhyuddin Yassin tersebut di atas.

Sebabnya adalah jelas dan mudah difahami. Pendekatan ini akan menghadapi nasib yang sama dengan dasar PPSMI. Menteri Pelajaran akan datang selepas Menteri Pelajaran kini tentu akan mengumumkan satu pendekatan baru untuk memperbaiki tahap Bahasa Ingerís. Pendekatan wajib ini akan gagal juga seperti dasar PPSMI.

Kebanyakan pelajar dari golongan masyarakat bandar berpendapatan rendah dan sederhana , serta mereka yang tinggal di kawasan luar bandar akan gagal dalam SPM kerana tidak lulus Bahasa Inggerís, masa depan tidak cerah dan tidak dapat memajukan kehidupan mereka pada masa akan datang. Bagi mereka, mendapatkan pendidikan sudah menjadi masalah, apa lagi jika diwajibkan lulus dalam Bahasa Ingerís. Golongan ini selalu menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar dan kelengkapan pendidikan.

Pada ketika itu, untuk membolehkan peratusan kelulusan Bahasa Inggeris ditingkatkan, pihak berkenaan akan mengguna pendekatan mengurangkan dan memudahkan kandungan kurikulum. Dengan demikian, tahap Bahasa Inggerís pasti akan tergelincir turun lagi, bukannya meningkat.
Inilah yang berlaku kepada dasar PPSMI. Apabila PPSMI dilaksanakan, kurikulum dikurangkan, kandungan tidak sedalam dulu. Ada kandungan sains yang diajar di tingkatan 1 sebelum pelaksanaan PPSMI kini diajar di tingkatan 3 , ada kandungan matematik dipindah ke matapelaran Matematik Tambahan.

Walaupun begitu, masih terdapat pelajar-pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran semasa belajar Sains dan Matematik, kerana matapelajaran ini diajar dalam Bahasa yang mereka tidak mempunyai ilmu asas , apatah lagi apabila berhadapan dengan matapelajaran yang kandungannya abstrak.

Penguasaan bahasa bergantung pada penggunaan

Tambahan lagi, penguasaan bahasa seseorang sama ada baik atau tidak, banyak bergantung pada persekitaran dan keperluan kehidupan, jika dia perlu mengguna bahasa itu, lambat laun dia akan mempelajari dan menguasainya, tahap bahasa itu akan baik. Yang pentingnya ialah dia mesti ada ilmu asas bahasa itu. Dengan daya usaha, dia akan menguasai bahasa dengan baik dan sempurna.

PRM berpendapat keseluruhan sistem pendidikan di negara ini perlu diubah, bukan hanya tahap Bahasa Inggeris yang perlu diperbaiki.

Pembelajaran seumur hidup (Life long learning)

Pihak yang berkenaan hendaklah bersungguh-sungguh melaksanakan falsafah pendidikan yang diuar-uarkan selama ini, iaitu pembelajaran seumur hidup (life long learning), dan pelajar-pelajar kita perlu disemai falsafah hidup ini, serta dilengkapi dengan ilmu-ilmu asas setelah tamatnya pelajaran menengah, misalnya pelajar memperoleh ilmu asas Bahasa Ingerís yang membolehkan mereka terus belajar sendiri. Kementerian berkenaan perlu juga merubah fikiran mereka.

Ke hari ini, kerajaan Barisan Nasional hanya menjadi slogan pembelajaran seumur hidup ini sebagai propaganda politik semata-mata, tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Langkah pertama untuk ke arah pembelajaran seumur hidup itu, pada pandangan PRM, ialah kerajaan BN harus memansuhkan dasar PPSMI, dan memberhentikan pertimbangan terhadap cadangan mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris sebagai syarat untuk SPM.

Yang benar, 6-7-09

Koh Swe Yong
012-2766551


21B(F) Jalan SJ 6 Taman Selayang Jaya 68100 Batu Caves Selangor Malaysia

No comments: