Parti Rakyat Malaysia (PRM) merasa amat kesal terhadap tindakan Kerajaan Malaysia menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (I.S.A.) untuk menahan tanpa perbicaraan blogger Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, Ahli Parlimen Seputeh yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok dan wartawan akhbar Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.
Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendesak agar Kerajaan Malaysia membebaskan dengan segera tanpa syarat ketiga-tiga individu tersebut termasuk tahanan Internal Security Act (I.S.A.) yang lain yang ditahan di Kem Kamunting termasuklah pemimpin-pemimpin Hindu Right Action Force (Hindraf). Sekiranya Kerajaan Malaysia mempunyai bukti yang cukup kukuh dan siasah, mereka haruslah didakwa di mahkamah.
Parti Rakyat Malaysia (PRM) berasa sukar dan berat untuk menerima alasan-alasan yang diutarakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, terutamanya alasan penahanan wartawan akhbar Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng. Mengapakah Ketua United Malay National Organisation (UMNO) Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang jelas lagi suluh memainkan isu perkauman semasa memberi ceramah ketika pilihan raya kecil di Permatang Pauh, baru-baru ini tiada sebarang tindakan diambil melainkan dikenakan tindakan penggantungan sebagai ahli United Malay National Organisation (UMNO) selama 3 tahun oleh Kerajaan Malaysia, manakala wartawan yang melaporkan berita tersebut ditahan dan dihumban ke dalam Internal Security Act (I.S.A.).
Parti Rakyat Malaysia (PRM) adalah satu-satunya parti yang menentang Akta tersebut sejak diperkenalkan pada tahun 1960 selepas berakhirnya Darurat hinggalah sekarang. Oleh itu, Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendesak agar Kerajaan Malaysia supaya dapat memansuhkan Akta tersebut yang ternyata bercanggah dengan hak asasi manusia sejagat.
Koh Swee Yong
Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM)
012-2766551
21B (F), Jalan SJ6, Taman Selayang Jaya, 68100, Batu Caves.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment